Atas permintaan Kelat, Intan taipkan semula kisah PENGALAMAN PERTAMA hasil nukilan Intan sendiri berdasarkan pengalaman sendiri yang pernah dimuatkan dalam majalah Pa&Ma keluaran bulan Mei 2005. Pengalaman pertama memang menakutkan. Lebih-lebih lagi pengalaman untuk menjadi seorang ibu. Sewaktu aku disahkan hamil, aku menetap di Kuala Lumpur bersama keluarga mertuaku kerana aku bekerja di sana. Suamiku pula menetap dan bekerja di Johor Bahru.
Di awal kehamilan, aku tidak mengalami alahan yang teruk, cuma pening dan sedikit rasa loya. Namun apabila kandunganku memasuki bulan kelima, alahanku semakin teruk. Tiap-tiap pagi aku mabuk dan kepalaku melayang-layang. Walaupun begitu aku tetap tabahkan hati untuk ke tempat kerja. Setiap pagi aku akan muntah samada sebelum atau selepas menaiki LRT. Yang peritnya, sewaktu di dalam LRT, aku tidak pernah diberi peluang untuk duduk kerana perutku belum membesar. Maklumlah, kandunganku baru berusia lima bulan. Lagipun kandungan pertama, belum banyak lemak kat perut..
Keadaan di dalam LRT penuh sesak setiap hari. Masing-masing berpusu-pusu untuk ke tempat kerja. Seminggu lebih aku cuti sakit. Waktu itu keadaanku amat teruk sehinggakan aku tidak boleh makan dan minum. Apa sahaja yang aku makan atau minum pasti akan termuntah semula. Malah pernah suatu hari aku muntah darah kerana tiada apa lagi dapat aku muntahkan disebabkan perutku yang kosong.
Tidak lama selepas kejadian itu, aku dan suami berbincang. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk meletak jawatan. Bagi aku, keluarga lebih penting daripada segala-galanya. Rezeki Allah boleh dicari di mana-mana. Alhamdulillah, sewaktu di Johor Bahru, alahanku tidak seteruk dahulu.
Bulan yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Tetapi nampaknya kandunganku masih seperti biasa. Tiada tanda-tanda yang dia nak keluar. Hinggalah tiba hari aku dijangkakan bersalin. Aku masih tidak merasa apa-apa perubahan. Setelah lewat lima hari, aku berjumpa doktor di Hospital Besar. Aku diminta memasuki wad dua hari kemudiannya. Tiga hari aku berada di wad tanpa sebarang masalah mahupun kesakitan. Perasaan bosanku membuak-buak ketika itu memandangkan tiada aktiviti menarik sewaktu di wad hospital.
Namun, pada subuh 28.10.2002, air ketubanku dipecahkan. Sebelum aku dibawa ke bilik bersalin, aku sempat menelefon suamiku menggunakan telefon awam memohon doa restu daripadanya. Waktu tu aku tiada telefon bimbit. Lama aku bertarung dengan rasa sakit. Pelbagai jenis botol air aku lihat bergantung di sisi kiri dan kananku.
Sakitku semakin teruk. Tiada tempat untuk aku mengadu. Hanya pada Allah aku bermohon. Aku membaca doa dan zikir-zikir yang telah suamiku ajar bagi menenangkan hati dan mencari kekuatan. Terasa badanku terlalu lemah. Jam menunjukkan hampir pukul 1.00 petang. Aku terasa seperti ada sesuatu yang ingin keluar. Aku sangkakan aku ingin membuang air besar. Aku memanggil doktor di situ bagi memastikan keadaanku.
Secara tiba-tiba aku lihat ramai orang disekelilingku. Semua pekerja dibilik bersalin itu memberi aku semangat untuk meneruskan perjuangan. Apabila mereka kata kepala anakku sudah kelihatan, aku rasa kekuatan diri tiba-tiba datang entah dari mana. Aku meneran sekuat hatiku. Alhamdulillah, tepat jam 1.10 petang, aku selamat melahirkan puteraku Muhammad Saufihanif seberat 3.75kg.
Kini dia sudah semakin membesar. Dia seorang anak yang comel, bijak, aktif dan rajin mengikut kami bersolat. Semoga anakku akan menjadi anak yang soleh, baik budi pekerti, baik paras rupa, sihat, bijak dan pandai. Itulah doaku setiap hari.
Hasil nukilan,
Intan